Menjadi perkara biasa jika lengan servo atau servo horn yang diikat pada output shaft (bahagian shaft yang tersembul keluar daripada badan servo) akan melekat pada badan servo tersebut seterusnya akan menyebabkan geseran. Ini terjadi kerana ruangan dalam lengan servo lebih panjang berbanding output shaft. Geseran seperti yang diketahui akan melambatkan pergerakan servo (akibat lebihan bebanan), memendekkan hayat bateri dan yang lebih buruk lagi ialah dalam jangkamasa panjang ia boleh merosakkan unit servo itu sendiri. Jadi untuk mengatasi masalah ini, terdapat dua jalan penyelesaian. Pertama ialah dengan menambah washer atau pelapik pada bahagian dalam ruang lengan servo sebelum mengikatnya kepada output shaft. Pilihan kedua pula ialah dengan memotong atau mengasah sebahagian kecil ruang kemasukan output shaft pada lengan servo itu. Kedua-dua jalan penyelesaian ini amat berkesan, tetapi adalah lebih baik jika anda memeriksa beberapa kali jarak atau ruang pemisah di antara lengan dengan badan servo. Bagaimana? Mudah sahaja perhatikan dari sisi unit servo. Sekarang pada bahagian tersebut sepatutnya terdapat sedikit ruang di antara lengan dengan badan servo. Sekiranya masih berlaku geseran, maka ulangi langkah 1 atau 2 sehingga anda berjaya. Selamat mencuba.
2) Tayar Berinformasi
Semakin lama anda menceburi hobi RC ini, maka semakin banyak pula koleksi tayar terpakai yang dimiliki. Sudah pasti sukar untuk membezakan tayar yang mana telah digunakan untuk kali ke berapa. Samada menggunakan tayar getah atau foam, on-road atau off-road, wajar untuk anda mengetahui tahap penggunaannya. Salah satu cara yang terbaik ialah dengan mengadaptasi sistem tandaan pada bahagian dalam rim tayar atau pada kotak tayar, inilah kelebihannya jika anda tidak membuang kotak tayar. Anda boleh menggunakan pen marker ataupun pelekat yang disertakan di dalam kotak tayar yang baru dibeli sebagai instrument penanda (gambar). Bagi tayar foam catatkan diameter, keadaan fizikal dan bahagian mana (kanan atau kiri) tayar ini telah digunakan. Untuk tayar getah pula rekodkan jumlah penggunaan tayar dan jenis insert yang digunakan. Sekarang anda mudah untuk mengenalpasti setiap unit tayar yang hendak digunakan dengan lebih cepat dan lebih yakin.
3) Hiaskan Starter Box Anda
Jika anda gemarkan solekan warna yang mengancam dengan pelbagai corak pada body shell kereta anda, konsep yang sama juga boleh diimplimentasikan pada starter box anda lebih-lebih lagi jika warna dan keadaan fizikal starter box itu sudah lusuh dan berkarat. Mulakan dengan proses pemisahan bahagian badan dengan mekanikalnya (motor, rotor dan bateri). Kemudian gunakan kertas pasir bergred sederhana halus untuk menggosok keseluruhan badan starter box. Proses ini boleh dibuat dengan bantuan air sabun untuk menanggalkan kotoran, karat dan minyak. Selesai peringkat ini anda dinasihatkan untuk menjemurkan badan starter box sehingga betul-betul kering. Seterusnya proses menyembur cat dengan kreativiti anda, sertakan dengan solekan api membara! Pelekat dan logo-logo jenama pengeluar RC kegemaran dengan skim warna piihan anda sendiri. Bagi menambah ketahanan warna semburan cat dan pelekat yang telah disiapkan, anda digesa untuk melapikkan beberapa lapisan pengilat berasaskan epoxy gloss yang mudah didapati di kedai-kedai hardware. Biarkannya beberapa hari untuk proses pengeringan dan pengerasan secara semulajadi dan kemudian anda boleh memasang kembali bahagian mekanikalnya.
4) 1001 Kegunaan WD40
Salah satu kelebihan WD40 ialah menanggalkan enapan. Bagi para pelumba off-road terutamanya, WD40 boleh membantu dalam memudahkan kerja-kerja pembersihan. Sebelum memulakan sesi latihan ataupun perlumbaan, semburkan WD40 kepada bahagian-bahagian seperti tayar, penyerap hentak dan lengan ayun kereta RC anda. Biarkan beberapa minit dan kemudian lapkan lebihan minyak dengan kain buruk. WD40 ini bukan sahaja memberikan lapisan kalis enapan tetapi juga melindungi bahagian logam daripada karat. Bukan itu sahaja, ia juga didapati bertindak melembutkan tekstur getah tayar untuk mendapatkan lebih cengkaman semasa perlumbaan.
5) Bearing Segar, Bersih, Lancar dan Selamat.
Untuk menempuh 60-minit final dalam perlumbaan kereta RC, anda pasti mengharapkan kelancaran serta ketahanan daripada bebola pengalas ataupun bearing kereta RC anda. Bearing yang bersih dan lancar dapat membantu anda untuk muncul sebagai juara. Oleh yang demikian, sebelum memasang sebarang jenis bearing pada mana-mana bahagian kereta RC, anda perlu membuat satu persediaan iaitu membuang minyak grease yang tersedia semasa proses pembuatan di kilang. Pada asalnya tujuan minyak grease adalah sebagai pelincir namun apabila bebola pengalas ini berputar ligat, haba yang terhasil akan mencairkan grease dan pada waktu ini berlakunya kebocoran pada pelindung sisi bearing. Minyak grease yang mencair ini akan tercampak keluar keserata bahagian dan komponen utama kereta, contohnya komponen clutch. Ini pasti akan mengakibatkan kegagalan fungsi komponen tersebut akibat insiden gelinciran. Untuk mengelakkan terjadinya perkara ini mudah sahaja, gunakan motor spray seperti WD40 untuk membersihkan dan membuang grease yang terdapat di dalam bearing tersebut dan gantikannya dengan pelincir khas untuk bearing yang mudah didapati di kedai menjual peralatan memancing.
6) Cara Mudah Membuat Lubang Body shell
Pada sesuatu ketika anda pasti telah berjaya mendapatkan jarak lubang dan bukaan yang tepat pada body shell kereta RC anda. Namun untuk mengekalkan skil ini pada body shell yang baru agak sukar melainkan anda seorang profesional. Lubang shock tower, bukaan angin dan laluan mengisi minyak sangat penting kerana ia berkait rapat dengan perkiraan down force semasa kereta meluncur dalam perlumbaan. Anda juga sudah pastinya tidak mahu merosakkan hasil seni anda dengan lubang-lubang yang tidak menepati sasarannya. Cara yang paling mudah ialah dengan menekap atau melapikkan body shell lama kepada body shell yang baru (harus jenis body shell yang sama). Dengan kaedah ini anda akan dapat menjimatkan wang dan juga masa.
7) Lebih Panjang = Lebih Nitro = Lebih Masa
Memasang salur minyak atau fuel tube yang lebih panjang pada kereta RC dapat menghasilkan beberapa kelebihan terutamanya semasa perlumbaan. Pertama, lebih panjang salur minyak bermakna lebih banyak simpanan minyak di dalam salur itu dan seterusnya memanjangkan masa anda berlumba sebelum sampai masa memasuki pit untuk pengisian semula. Kedua, salur minyak yang lebih panjang dapat mengelakkan enjin daripada cepat mati akibat bekalan minyak terputus semasa kereta anda terbalik apabila terlibat dalam kemalangan. Namun, seperkara yang harus diambil perhatian ialah, setiap kelebihan itu kadangkala ada juga kelemahannya, dalam kes ini salur minyak yang panjang akan menambah masa untuk menghidupkan enjin yang telah mati. Ini adalah kerana pergerakan minyak untuk sampai ke karburetor turut bertambah.
8) Shock Tower Kecemasan
Kemalangan dalam perlumbaan RC adalah suatu perkara yang lumrah. Para pelumba profesional juga tidak terkecuali terutamanya ketika situasi kejar-mengejar untuk mencatatkan masa terpantas dan menempatkan diri dalam kelompok teratas. Kerosakan yang biasa terjadi akibat kemalangan ialah shock tower patah ataupun retak. Cara yang pantas untuk membaiki kerosakan ini ialah dengan menampal potongan lexan daripada lebihan body shell di bahagian depan dan belakang shock tower yang patah atau retak dengan menggunakan gam CA (super glue). Proses ini sesuai dibuat sekiranya bahagian yang patah atau retak itu terjadi di tempat yang rata dan tidak terdapat lubang penyerap hentak. Sebaik-baiknya ia perlu disokong dengan mengapit bahagian yang telah ditampal beberapa saat atau minit (bergantung kepada kesesuaian masa) dengan menggunakan plier. Bagi situasi kepatahan atau retakan yang berlaku pada bahagian lubang penyerap hentak pula kaedahnya lebih mudah iaitu dengan mengapit bahagian itu dengan 2 keping washer selepas digamkan dengan CA. Seterusnya proses ikatan dan pengetatan skru penyerap hentak secara tidak langsung menjadi mekanisme pengapit pada bahagian tersebut.
9) Mengekalkan Kualiti Nitro
Dalam setiap perlumbaan RC para pelumba yang mengambil bahagian akan sentiasa mengharapkan cuaca yang kekal panas sepanjang sesi perlumbaan hingga ke akhirnya. Dalam hal ini terdapat satu bahan utama yang tidak dapat bertoleransi dengan cuaca seperti ini khususnya dalam perlumbaan kategori RC-nitro iaitu minyak nitro itu sendiri. Jika anda menyertai sesuatu perlumbaan RC dan didapati tempat duduk atau work bench anda disinari oleh cahaya matahari yang terik, anda dinasihatkan untuk menyimpan botol minyak anda di tempat yang redup dan terlindung contohnya di bawah meja. Bukan itu sahaja, seelok-eloknya botol itu dibalut dengan kain tuala sebelum disimpan. Untuk pengetahuan anda, sifat semulajadi nitro ialah cepat meruap dan terkondensasi (berpeluh dan menghasilkan air) apabila didedahkan kepada cuaca panas. Ini sudah pasti akan menjejaskan kualiti nitro dan akan mengakibatkan anda berisiko terlepas daripada merangkul kejuaraan! Apabila selesai sesi perlumbaan, kembalikan lebihan nitro ke dalam botol utama, keluarkan seberapa banyak udara yang mungkin daripada botol utama tadi dengan cara memicit botol tersebut sebelum menutupnya dan apabila sampai di rumah pula, simpan botol nitro anda di tempat yang terlindung dan beralas (tidak jejak lantai). Dengan mengikut prosedur ini, seharusnya nitro anda akan kekal segar sepanjan tahun.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan