
Pendahuluan.
Industri model permainan dan penganjuran perlumbaan RC dilihat semakin hari semakin berkembang maju seiring dengan peningkatan permintaannya di seluruh dunia. Ini bermakna pasukan R&D daripada syarikat pengeluar kereta dan enjin perlu bekerja keras dan bersaing untuk muncul sebagai pendahulu serta membuktikannya dengan memenangi seberapa banyak perlumbaan RC dalam setahun. Kejuaraan yang dirangkul akan dijadikan sebagai kayu pengukur oleh para penggemar hobi semasa mereka memilih jenama yang dipercayai dapat membantu diri mereka mencapai kemenangan dalam perlumbaan tempatan.
Faktor yang menjadi keutamaan dalam pemilihan kereta mahupun enjin ialah pada kualiti dan integriti jenama tersebut. Bermula dari bahan pembuatan sehinggalah kepada bekalan alat gantian, segala-galanya berkait rapat. Oleh yang demikian, segala keperluan dan selera pelanggan harus dipenuhi. Salah satu medium sokongan yang amat berkesan dalam pembangunan R&D dan strategi pemasaran ialah dengan melantik duta ataupun wakil syarikat, dengan kata lain duta ini ialah para pelumba tajaan. Mereka ditugaskan untuk membawa dan menjulang nama jenama mereka ke puncak kejayaan. Kejayaan inilah merupakan satu hipotesis ataupun pembuktian keberkesanan sesuatu produk.
Melaras sesebuah kit professional dengan enjin perlumbaan sepatutnya menjadi subjek yang mudah dan dapat dilakukan oleh majoriti pengguna atau pelanggan. Dengan bantuan dan maklum balas daripada para pelumba tajaan, pelanggan mendapat satu saluran mudah untuk dijadikan sebagai rujukan dan rakan tutorial. Segala persoalan yang diajukan sudah pasti akan dijawab dengan cepat, cekap dan berkesan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan