Jumaat, 28 Ogos 2009

Pemilihan Glow Plug

Glow Plug Yang Bertepatan

Pemilihan glow plug yang tepat adalah suatu perkara yang wajib dipelajari oleh setiap individu yang menceburi hobi RC-nitro. Terma ‘tepat’ yang dimaksudkan di sini ialah apabila glow plug itu memberikan prestasi yang terbaik dalam situasi tertentu. Oleh yang demikian ikutilah garis panduan di bawah ini.

a) Jenis Enjin

Kenalpasti jenis enjin anda terlebih dahulu. Adakah enjin anda jenis standard atau turbo?
Enjin standard biasanya dibina dengan konsep ‘1-piece head’ dimana bahagian kepala sirip penyejuk dibina bersama dengan lubang untuk mengikat glow plug. Glow plug bagi enjin ini didatangkan bersama pelapik tembaga (washer) yang bertindak sebagai gasket dan ianya mudah didapati dan harganya lebih murah.
Enjin turbo pula disertakan dengan 2 komponen utama pada bahagian kepalanya iaitu sirip penyejuk dan turbo head. Turbo plug akan diikat pada bahagian turbo head ini. Kelebihan turbo head ialah pada prestasinya di mana tahap kejituan semasa proses pembuatannya menyebabkan hampir tiada ralat mahupun kebocoran mampatan di antara turbo head dengan turbo plug dan juga di sekeliling head shim yang menyambungkan turbo head dengan sleeve. Ketepatan penyelarasan ini sangat membantu dalam proses mampatan, pembakaran dan pengaliran haba yang sempurna kepada sirip penyejuk. Oleh yang demikian enjin turbo dengan penggunaan turbo plug menjadi pilihan bagi para pelumba yang mahukan enjin yang berkuasa optimum, tangkas dan pantas.
*Jangan sesekali cuba untuk menukar atau menggunakan salah satu plug selain dari yang disyorkan kerana perbuatan ini hanya akan merosakkan enjin anda.

b) Saiz Enjin

Saiz enjin yang berbeza memerlukan jenis glow plug yang bersesuaian (panas atau sejuk). Contohnya; enjin bersiaz .12 .15 .21? Enjin yang lebih besar mempunyai jisim yang besar dan sifat ini mengekalkan haba dengan lebih baik untuk penghasilan kuasa optimum. Manakala enjin bersaiz kecil pula sebaliknya dan memerlukan jenis glow plug yang lebih panas bagi mengekalkan prestasinya.

* Lebih kecil saiz enjin, lebih panas glow plug diperlukan.

c) Komposisi / Kandungan Nitromethane

Berapakah peratusan nitro yang digunakan? Nitro yang mengandungi peratusan yang lebih tinggi akan menghasilkan lebih kuasa dan juga haba.

*Lebih tinggi peratusan nitro bermakna lebih haba yang dihasilkan maka pemilihan glow plug yang sejuk adalah bertepatan.

d) Suhu Persekitaran

Pelumba yang bijak sentiasa menyimpan beberapa jenis glow plug. Alasannya? Pemilihan glow plug yang tepat akan berubah mengikut perubahan suhu persekitaran.

*Suhu persekitaran yang panas memerlukan glow plug yang lebih sejuk, begitu juga sebaliknya.

e) Perkara Yang Berkaitan

Beberapa perkara yang harus diberi perhatian ialah.

i) Glow plug bersifat panas memudahkan kestabilan melahu ataupun idling dan meningkatkan ketangkasan enjin.

ii) Glow plug yang sejuk (tidak menepati situasi) dilihat seperti menghasilkan lebih prestasi dan kuasa tetapi ia hanya terjadi ketika enjin anda menjadi lampau panas dan kelajuan melahunya pula menjadi tidak stabil dan sukar untuk melaraskan enjin ke tahap yang optimum.

iii) Rekabentuk dan jenis trek perlumbaan juga memainkan peranan dalam pemilihan jenis glow plug. Jika trek itu mempunyai banyak selekoh maka glow plug panas adalah yang sesuai digunakan manakala bagi trek yang mempunyai lebih banyak bahagian lurus dan panjang maka glow plug yang lebih sejuk patut dipilih.

iv) Nisbah campuran nitro / udara bukan sahaja memberi kesan kepada prestasi enjin malahan menjadi kayu pengukur kepada hayat glow plug tersebut.

• Jika nisbah campuran itu kaya dengan nitro, bermakna anda telah menggunakan nitro lebih dari yang sepatutnya. Pembaziran yang berlaku menyebabkan lebihan enapan akan terkumpul pada filamen glow plug, keadaan ini juga akan menyebabkan enjin menjadi lebih sejuk. Kesemua gejala ini menjurus kepada kemusnahan struktur filamen glow plug.

• Manakala jika nisbah campuran itu terlalu nipis, peringkat awal prestasi enjin dilihat seakan sempurna tetapi akibatnya ialah penghasilan haba yang berlebihan pada peringkat pertengahan dan gejala ini juga mengakibatkan kemusnahan glow plug lebih cepat dari yang dijangkakan.


f) Pertimbangan Terakhir

Pemilihan glow plug yang sesuai dapat mempertingkatkan prestasi enjin dan juga memanjangkan hayat enjin serta glow plug itu sendiri. Daripada apa yang telah dibincangkan di atas, dapat disimpulkan beberapa perkara iaitu;

• Beli glow plug yang berkualiti bagi menjamin pelaburan anda dalam hobi RC.
• Simpan glow plug anda di tempat yang kering kerana lembapan boleh merosakannya.
• Pilih glow plug yang tepat berdasarkan garis panduan di atas.
• Ikut kaedah break-in enjin yang betul.
• Laraskan nisbah campuran nitro / udara dengan tepat kerana keseluruhan hayat komponen enjin dan glow plug bergantung kepada aspek ini.
• Jangan sesekali menyentuh filamen pada glow plug.
• Jangan terlebih daya semasa mengetatkan ikatan glow plug.
• Pastikan pelapik head atau head shim mengikut prosedur di dalam manual enjin.
• Gunakan glow starter yang berkuasa 1.5V sahaja.
• Jangan malu untuk bertanya dan meminta bantuan daripada mereka yang lebih berpengalaman di dalam hobi RC kerana pengalaman mereka dapat menyelamatkan masa dan juga wang anda.




Bagaimana Membaca ‘Glow Plug’ Anda.

Kebiasaannya jika filamen glow plug bertukar warna daripada berkilat kepada warna kelabu selepas 5 atau 10 minit berlumba, ini menunjukkan tuning enjin anda menghampiri tahap maksimumnya. Berhati-hati, jika tidak pelarasan yang berikutnya mungkin menjurus kepada kepanasan lampau akibat terlalu lean. Oleh yang demikian sila baca beberapa kaedah untuk membaca ciri / keadaan glow plug.

Petua Glow Plug

1. Filamen dan permukaan plug basah seakan baru dan berkilat = 85% kuasa (campuran rich)
2. Filamen dan permukaan plug agak kering, warnanya bertukar menjadi sedikit kelabu = 95% kuasa
3. Permukaan plug kering, filamennya berwarna kelabu tetapi tidak renyuk = 100% kuasa
4. Permukaan plug kering dan filamennya renyuk = BAHAYA
5. Permukaan plug sangat kering filamennya renyuk, terputus dan hangus = sangat lean (kerosakan enjin mungkin berlaku)

Petua ‘membaca’ plug ini hanya berkesan jika anda menggunakan glow plug yang baru (segar dan berkilat) pada peringkat permulaan tuning. Plug yang telah bertukar warna menjadi kelabu masih boleh berfungsi tetapi prestasinya sudah mulai menurun. Oleh yang demikian janganlah lokek untuk mendapatkan prestasi maksimum daripada enjin kegemaran anda.