Penyesuaian Komponen Enjin
Bagaimana Untuk ‘Break-in’ Enjin Baru
“Sifat sabar adalah kunci kepada kejayaan anda!”
Kejayaan ataupun kegagalan dalam menyelenggara dan melaras enjin nitro bergantung kepada kaedah anda menjalankan proses yang paling penting iaitu penyesuaian komponen = break-in.
Luangkan masa untuk proses break-in ini kerana dengan mengikut kaedah yang sempurna, hayat enjin baru akan bertahan lebih lama, dapat mencapai RPM yang lebih tinggi dan berupaya menghasilkan kuasa yang optimum
Segalanya Bergantung Pada Karburetor
Prestasi dan jangka hayat sebuah enjin berpunca dari pelarasan karburetor yang baik. Kebiasaannya terdapat 3 jenis komponen pelaras yang perlu dikenalpasti pada bahagian karburetor enjin nitro iaitu pelaras kelajuan tinggi = High Speed Needle (HSN), juga disebut sebagai ‘top end’. Pelaras kelajuan rendah = Low Speed Needle (LSN), juga disebut sebagai ‘bottom end’ dan pelaras kelajuan melahu = Idle Stop Screw (ISS), juga disebut sebagai ‘idling’.
HSN adalah bahagian pelaras yang sangat penting dan perlu diberi perhatian kerana ia mengawal keseimbangan nisbah campuran minyak / udara semasa enjin mencapai tahap puncak RPM apabila karburetor berada dalam keadaan bukaan penuh = full throttle. Situasi di mana minyak berlebihan berbanding udara dipanggil campuran kaya = rich. Manakala sebaliknya dipanggil campuran nipis = lean.
Pelarasan rich membantu enjin bekerja dalam suhu yang lebih rendah tetapi dalam masa yang sama ia juga akan memberi kesan terhadap keupayaan enjin untuk mencapai RPM yang lebih tinggi. Proses ini berlaku kerana nitro berlebihan yang memasuki ruang pembakaran itu secara tidak langsung bertindak sebagai bahan penyejuk. Pelarasan lean pula membenarkan enjin anda berputar dengan ligat dan mencapai tahap RPM yang maksimum tetapi keadaan ini mengakibatkan suhu enjin menjadi panas lampau.
Kecenderungan yang berlebihan kepada salah satu situasi di atas (rich atau lean) tidak mendatangkan sebarang kebaikan tetapi perlu diingat bahawa tidak rugi dan lebih selamat jika anda melaraskan enjin anda kepada sedikit rich (sejuk sedikit). Pelarasan yang baik adalah peringkat di mana keseimbangan dicapai di antara suhu efektif (110 - 120°C) dengan puncak RPM.
LSN berfungsi mengawal nisbah kemasukan minyak / udara ke dalam enjin semasa RPM meningkat daripada putaran rendah kepada putaran tinggi dan juga semasa enjin berada dalam keadaan idling. Kebanyakan enjin perlumbaan yang terkini mempunyai pelaras LSN sekunder selain LSN utama pada bahagian karburetornya. Ia terletak bertentangan dengan LSN utama. Mempunyai fungsi yang sama tetapi lebih kepada ‘fine tune’
Pelarasan rich pada LSN utama menyebabkan enjin anda kurang responsif pada RPM rendah dan kesannya dapat dilihat apabila kereta malas bergerak keluar dari selekoh (kurang pick-up). Manakala jika pelarasan dibuat dengan betul, enjin akan menghasilkan kuasa optimum setara dengan kadar RPM-nya.
Dari sudut yang lain pula, pembuat dan pengeluar enjin siri model-sport telah mengambil pendekatan melupuskan pelaras LSN sekunder pada bahagian karburetor mereka. Walaupun perkara ini telah menghadkan keupayaan dan prestasi enjin tersebut, masih ada kelebihan yang berjaya di ketengahkan iaitu mesra pengguna. Aspek ini dilihat begitu penting kerana pengguna pada peringkat beginner dan entry level dapat menikmati keseronokan berlumba lebih daripada terpaksa menghabiskan masa melaras karburetor.
Bahagian yang terakhir ialah Idle-Stop Screw (ISS). Sebagai asasnya pelaras ini digunakan untuk melaras bukaan karburetor semasa dalam keadaan idling. Bukaan kecil yang dikawal ini membenarkan kemasukan minyak / udara dalam kuantiti yang hanya cukup untuk enjin hidup dan berputar dalam kadar RPM yang terendah serta stabil. Pelarasan ini akan dibuat hanya selepas kedua-dua pelarasan HSN dan LSN ditala dengan sempurna.
Break-in Bermula Di Sini.
Langkah pertama yang perlu dibuat ialah MEMBACA BUKU MANUAL yang disertakan bersama pembelian enjin atau kit baru anda. Di dalam kebanyakan buku manual, terdapat satu bahagian yang menerangkan secara terperinci tentang di mana duduk letak dan jumlah pusingan pada setiap skru pelarasan sebagai permulaan asas break-in.
Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, didapati sebahagian besar enjin yang berkualiti perlumbaan cenderung untuk menyediakan pelarasan asasnya dari kilang pembuatan lagi. Di sana, para pembuat dan pengeluar enjin ini bekerja keras dengan menggunakan pelbagai peralatan canggih dan terkini untuk mendapatkan bacaan yang mencapai standard kejuruteraan. Oleh yang demikian, jika buku manual mengesyorkan untuk anda membuat pelarasan dengan jumlah sebanyak 3 pusingan pada satu-satu skru pelaras maka anda digesa untuk mengikuti arahan tersebut dengan tepat !
Bagi enjin model-sport yang lebih ekonomikal, posisi atau bukaan skru pelaras karburetor mungkin berbeza sedikit daripada apa yang tertulis di dalam buku manualnya. Oleh yang demikian, apabila sebuah enjin model-sport baru itu gagal untuk dihidupkan maka skru pelaras pada HSN perlu di pusingkan ke arah jam (mengecilkan kemasukan minyak) sedikit demi sedikit sehingga enjin itu berjaya dihidupkan. Selepas beberapa minit dan enjin berada dalam keadaan melahu yang stabil, kedudukan skru pelaras akan dikembalikan ke posisi asal. Jangan sesekali cuba untuk menggerakkan kereta berenjin baru dalam pelarasan yang terlalu lean, lebih-lebih lagi sebuah enjin yang baru sahaja menjalani proses break-in.
Kali Pertama Menggerakkan Kereta @ Enjin Baru
Semua orang semestinya tidak sabar untuk memandu kereta RC mereka sejurus enjin itu dihidupkan dan sebahagian besarnya mahu memandu dengan LAJU!
JANGAN!!
Pemanduan pada peringkat awal dengan enjin pra-pelarasan adalah saat-saat yang paling genting. Anda perlu mengikut kaedah pelarasan yang teliti demi menjamin ketahanan dan juga prestasi enjin tersebut.
1) Hidupkan Enjin
Apabila anda telah berjaya menghidupkan enjin, letakkan kereta di atas bangku dengan keempat-empat tayarnya tergantung (tidak jejak lantai). Laraskan ISS dan cuba dapatkan kelajuan melahunya berada pada paras RPM terendah, biarkan beberapa minit sahaja (2-3 minit memadai). Matikan semula enjin anda dengan cara memicit salur minyak yang membawa ke karburetor dan biarkan enjin itu sejuk. Semasa menjalani prosedur ini, perkara yang perlu diberi perhatian utama ialah melaras semula kedudukan piston supaya sentiasa berada pada kedudukan yang paling bawah dalam sleeve sebelum komponen enjin itu menyejuk. Caranya ialah dengan melihat kedudukan piston itu dari lubang glow plug dan memusingkan flywheel dengan jari anda sehingga kelihatan piston itu bergerak ke bawah. Ulangi langkah ini 3 hingga 4 kali lagi.
Apakah alasannya untuk melakukan prosedur ini?
Rekabentuk silinder ataupun sleeve sebenarnya agak menguncup pada bahagian atasnya. Semasa cycle mampatan bahan bakar, piston akan bergerak ke atas menuju bahagian ini. di sini piston dan sleeve akan mengalami stress yang kuat untuk menghasilkan keadaan dipanggil kedap mampatan (tiada kebocoran mampatan pada bahagian yang sempit/ketat ini). Sekiranya enjin mati dan piston berhenti tepat pada bahagian kemuncak stress ini, proses pemanasan dan penyejukan yang berlaku secara berulang kali akan mengubahsuai struktur dinding sleeve untuk cenderung mengikut bentuk dan saiz piston. Jika dibiarkan, lama kelamaan akan hilang bahagian sempit yang diperlukan sebagai kawasan kedap mampatan.
Apa sebenarnya yang berlaku semasa proses break-in ini?
Dari segi saintifik, proses ini melibatkan pengembangan dan pengecutan bahan logam (terutamanya piston dan sleeve). Proses pemanasan dan penyejukan enjin berulang kali ini memberikan keseinambungan di antara kedua-dua komponen tersebut. Haba yang terhasil daripada pembakaran nitro akan menstabil dan menyesuaikan saiz piston kepada dinding sleeve, begitu juga sebaliknya. Akhirnya menghasilkan keadaan kedap mampatan yang amat diperlukan semasa letupan di dalam ruang pembakaran. Tahap kekedapan inilah yang menentukan kuasa maksimum enjin anda!
Walaubagaimanapun, secara semulajadinya proses geseran akan menyebabkan kehausan kepada kedua-dua kompenen yang terlibat. Maka sampailah masa untuk anda menggantikannya dengan komponen yang baru.
Ulangi langkah menghidupkan enjin, tetapi kali ini enjin akan dibiarkan hidup untuk sekurang-kurangnya 3 hingga 4 tangki penuh. Sejukkan enjin di antara pengisian minyak. Kekalkan prosedur kedudukan piston.
2) Pemanduan Berhemah
Selesai menjalani kaedah di atas?
Sekarang kereta anda telah bersedia untuk diturunkan dari bangku pemanas. Kekalkan pelaras HSN pada kedudukan rich, sebabnya ialah minyak nitro yang berlebihan itu akan bertindak sebagai pelincir dan pelindung kepada permukaan dinding piston dan sleeve daripada sebarang partikal (habuk logam) yang terhasil daripada proses break-in. Partikal halus ini dikhuatiri akan menyebabkan dinding piston dan sleeve menjadi calar. Pada waktu ini kereta anda akan bergerak malas sambil mengeluarkan asap tebal kebiruan dan menyemburkan banyak lebihan minyak keluar dari paip ekzos.
Selama prosedur pra-pelarasan ini, anda sama sekali tidak digalakan untuk membuka penuh pendikit karburetor (full throttle). Amalkan cara ‘blip’ iaitu menarik picu remote anda berulang-ulang kali dengan tempoh yang singkat dan jarak gerakan jari yang sedikit sahaja.
Lakukan kaedah ini sebanyak 4 hingga 5 tangki lagi. Beri peluang kepada enjin anda untuk menyejuk di antara pengisian minyak. Kekalkan prosedur kedudukan piston dan jadikannya amalan seumur hidup dalam hobi RC.
Saat Yang Ditunggu-tunggu
Baiklah, anda telah berjaya dalam misi peringkat pertama dan sekarang sampai ke peringkat yang kedua pula. Ambil pemutar skru anda dan bersedia untuk memutarkan skru pelaras HSN !
Arah putaran pada skru HSN ialah mengikut arah putaran jam dan setiap putaran hanya sejauh 1 jam (bayangkan muka jam). Ini bermakna satu pusingan penuh pemutar skru adalah bersamaan 12 jam. Pandu kereta RC anda selama 2 – 3 minit dan bawa masuk, sekarang putarkan HSN sebanyak 1 jam lagi. Ulangi langkah ini sehingga anda dapat mencapai RPM yang sesuai namun belum sampai ke kemuncaknya, lebih kurang 75% kuasanya. Pada waktu ini anda masih dapat perhatikan asap tebal yang terhasil keluar dari ekzos dan nasihat bagi individu yang baru menceburi hobi RC ini,
Sebelum anda mengunci lagi skru HSN itu untuk mendapatkan tahap ‘setting perlumbaan’, adalah lebih baik jika anda menghabiskan 2 – 3 lagi tangki minyak dengan keadaan sedia ada. Kemudian, apabila anda sudah temui setting menghampiri 100 % kuasa enjin maka langkah bijak dan jangka panjangnya ialah dengan membuka sedikit skru HSN ke arah rich, lebih kurang ¼ putaran lawan arah jam. Ini adalah pelarasan akhir pada HSN.
Kaedah Terakhir
Peringkat ketiga ini merupakan yang terakhir sebelum anda dapat menikmati deruman atau jeritan dari enjin baru anda!
Kuasa dan kecekapan yang dicapai ketika ini menghampiri 100%, namun anda masih dapat melihat kepulan asap biru yang tebal lebih-lebih lagi semasa kereta anda memecut keluar dari selekoh. Ini adalah normal. Sekarang tibalah masanya untuk melaras LSN dan ISS.
Buat masa ini laraskan skru ISS agar kelajuan melahu berada pada tahap sedikit tinggi supaya enjin tidak mudah mati. Dapatkan bacaan suhu yang ideal dengan memandu beberapa minit dan sekarang berhentikan kereta anda dan dengar bunyi kelajuan melahu (idling). Jika nada idlingnya tinggi dalam beberapa saat dan kemudian turun, bermakna pelarasan LSN berada pada aras rich. Putarkan skru LSN 1 jam (ikut arah jam). Pandu lagi kereta anda beberapa pusingan lap, berhenti dan dengar lagi idlingnya. Lakukan prosedur ini sehingga idling berada dalam nada tinggi dan stabil (satu nada). Dapatkan jangkamasa idling yang stabil ini sekurang-kurangnya 20 saat.
Sekarang tiba masanya untuk melaras ISS, putarkan ISS ke arah lawan jam untuk menurunkan idling. Objektif pelarasan ISS ialah untuk mendapatkan kestabilan semasa idling, ia dicapai apabila anda tidak perlu menolak picu remote untuk memberek = idle terlalu tinggi sehingga menangkap clutch, ataupun menarik picu remote berkali-kali agar enjin tidak mati = idle terlalu rendah di mana bukaan pendikit terlalu sedikit. Definasi bagi idling yang sempurna ialah RPM yang stabil (enjin tidak capat mati semasa berhenti) dan ia tidak memberi kesan tehadap mekanisma clutch.
4 Petua Penalaan Enjin
1. Sentiasa laraskan enjin anda kepada sedikit rich dan pastikan terdapat asap berwarna biru keluar dari ekzos.
2. Amalkan pelarasan pada HSN dahulu sebelum menyentuh pelaras yang lain.
3. Jangan
4. Selalu mulakan pelarasan dengan enjin yang berada pada setting rich. Jangan sesekali melaras enjin yang diketahui berada pada setting lean.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan